Hatiku Dan Hatimu Menjadi Satu Rasa...PannnnassssThank You Visit Me...Plz..come again..

Thursday, November 24, 2011

KELAB KANAK-KANAK ASMA SELANGOR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


Inilah dia info nak kongsi semalam.....bestnya 


APA yang anda akan lakukan sekiranya anak tiba-tiba diserang asma? Saat itu langkah paling penting ialah jangan panik.
Namun bagi ibu bapa yang tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan asma, pastinya saat-saat itu amat menggusarkan.
Waktu itu mungkin akan timbul persoalan siapa yang perlu dihubungi untuk meminta bantuan dan berkongsi pengalaman serta masalah.
Menyedari pentingnya kumpulan sokongan bagi pesakit asma atau mereka yang terbabit dalam menguruskan penyakit ini secara langsung, Kelab Asma Kanak-Kanak (KAKK) Selangor dan Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada tahun 1997.
Ia ditubuhkan oleh sekumpulan ibu bapa yang mempunyai masalah berhubung anak-anak mereka yang menghidap asma.
Bermula dengan hanya sekadar pertemuan biasa di kalangan ibu bapa pada hari klinik di sudut minum kopi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), akhirnya kelab ini menerima jumlah ahli yang ramai seterusnya menjalankan pelbagai aktiviti dalam mengembangkan kelab yang satu-satunya terdapat di negara ini.
Hasilnya, pertemuan demi pertemuan diadakan di kalangan ahli kelab yang kemudiannya mencetuskan idea untuk melantik presiden kelab yang diterajui oleh Roslizawati Hashim ketika itu.
Selepas beberapa tahun kini kelab ini ditadbir oleh Datin Ferida Inolil Mustapha, 42.
''Ramai di kalangan ibu bapa dan ahli keluarga menyatakan betapa pentingnya kumpulan sokongan dalam menghadapi ahli keluarga yang berhadapan dengan masalah asma.
''Bagi anak-anak yang sudah dewasa mereka sudah pandai menguruskan asma, namun ibu bapa yang mempunyai anak kecil pasti akan menggelabah berhadapan dengan keadaan panik apabila anak diserang penyakit itu," katanya.
Ujar Ferida Inolil, setakat ini terdapat lebih 200 keluarga yang menyertai kelab itu.
Apa yang penting penubuhan kelab bertujuan mendidik dan memberi bimbingan kepada para peserta (terdiri daripada ahli keluarga, adik-beradik dan ibu bapa) yang perlu tahu apa yang harus dilakukan sekiranya anak atau ada di antara ahli keluarga mereka diserang asma.
''Kadang-kadang dalam saat seperti ini kita mudah panik dan tercari-cari apakah ubat yang diperlukan.
''Setiap orang yang mengalami masalah asma akan berbeza punca alahannya antara satu dengan lain.
"Justeru seseorang atau ahli keluarganya perlu tahu apa yang menjadi alahan kepada penghidap asma itu agar ia sentiasa menjauhi perkara berkenaan.
"Selain itu penghidap asma juga biasanya berpunca daripada keturunan," jelas bekas peguam yang memilih untuk menjadi suri rumah bagi menjaga anak-anaknya yang asma.
Bercerita lanjut, Ferida Inolil mengakui, dirinya juga merupakan seorang pesakit asma kronik sejak kecil lagi. Namun berkat dengan kemahiran menguruskan diri dan ubat-ubatan yang sesuai, Ferida Inolil kini bukan sahaja boleh menyertai pelbagai aktiviti malah bergiat aktif dalam pelbagai lapangan.
''Saya tahu kerana saya juga seorang pesakit asma merasa betapa sengsara rasanya apabila diserang oleh penyakit ini dahulu, begitu juga saya rasakan apabila melihatkan dua daripada lima orang anak saya yang turut menghidap asma.
''Asma tidak akan hilang tetapi ia dapat dikawal berpandukan penggunaan ubat-ubatan yang betul," katanya ketika ditemui di PPUM, baru-baru ini.
Ferida Inolil mempunyai anak berusia antara lapan hingga 16 tahun. Anak ketiga dan yang paling kecil adalah penghidap asma. Namun memandangkan pengalaman yang dilaluinya, Ferida Inolil tidak pernah menyekat apa sahaja aktiviti yang ingin dijalankan oleh anaknya malah memberi mereka perangsang.
Katanya, selalunya apabila ibu bapa mengetahui anak mereka asma, mulalah mereka menyekat segala pergerakan dan aktiviti anak.
Namun penghidap asma juga sebenarnya boleh bergembira dengan kehidupan dan bergiat aktif asalkan mereka tahu alahan yang perlu dijauhi.
Tambahnya, mereka yang dialu-alukan menjadi ahli KAKK ialah mereka yang dari bayi hingga 18 tahun. Antara kegiatan yang dijalankan kelab itu ialah bersukan, bercuti dan mengadakan kem yang mempunyai pelbagai aktiviti seperti permainan luaran, berenang, berjalan memerhatikan keindahan alam, aktiviti menggembirakan, kraf dan lukisan serta pendidikan menguruskan asma.
''Sudah beberapa kali kelab mengadakan aktiviti berbentuk kem dan pada kali ini dijangka kelab akan membawa ahli menyertai Kem Asma KAKK Tahunan 2011 di De Palma Inn, Kuala Selangor.
''Mungkin ramai yang tidak percaya melihat betapa aktifnya anak-anak ini ketika berada dalam kem berkenaan, sambil bermalam mereka ternyata lebih ceria dan cergas. Mereka pastinya dipantau oleh doktor, ahli jawatankuasa (AJK) dan jururawat yang turut mengikut kita," katanya.
Tambahnya, menghantar anak-anak ke kem seperti itu adalah langkah terbaik yang dilakukan oleh ibu bapa untuk anak-anak asma kerana selain dapat berhibur, anak-anak tersebut boleh belajar bagaimana untuk berkawan dengan rakan-rakan lain, belajar mengurus dan mengawal asma, mampu berhadapan dengan cabaran dan boleh berhadapan dengan ketakutan serta berkeyakinan dan kemudian apabila pulang, anak-anak asma ini akan membawa satu harapan dan kemahiran baru.
Bagi mereka yang mahu bertanya mengenai KAKK ini boleh melayari kakkswp@gmail.comatau hubungi talian 012-3905318 atau 012-421 1177 (sekretariat).

No comments: